Saturday 16 March 2013

Indahnya Hidup Tanpa Derita



INDAHNYA HIDUP TANPA DERITA

Buku motivasi Indahnya Hidup Tanpa Derita ini berkisarkan tentang 40 kisah benar dugaan dan badai rumah tangga yang sering dihadapi masyarakat pada hari ini. Kisah-kisah malang mereka telah banyak menyentuh hati nurani saya sebagai seorang manusia.

Buku ini telah ditulis oleh Puan Noor Laila Aniza Zakaria yang merupakan seorang Perunding Profesional Excel Training & Consultancy (M) Sdn. Bhd. Kisah-kisah yang dipaparkan merupakan sebahagian daripada kisah yang dilalui oleh klien dan juga kenalan-kenalan beliau yang sering meluahkan sendiri masalah kepada beliau. 

Inilah penulis buku "Indahnya Hidup Tanpa Derita"..
  Puan Noor Laila Aniza Zakaria


                                                       
Kadang-kadang kita merasakan dugaan kitalah yang paling besar, sedangkan ada banyak lagi orang lain yang diuji dengan dugaan yang jauh lebih dahsyat. Alhamdulilah, Allah telah menggerakkan hati saya untuk membeli buku ini. Banyak manfaat dan pengajaran yang saya dapat selepas membaca buku ini. 


Melalui kisah-kisah yang dipaparkan, ianya dapat memberikan motivasi kepada saya untuk terus tabah mengharungi liku-liku kehidupan di dunia yang fana ini. Ianya membuatkan saya lebih menghargai orang-orang yang ada disekeliling saya.

Kisah-kisah wanita yang sering ditindas oleh golongan lelaki benar-benar menakutkan saya untuk hidup dengan lelaki yang bergelar suami. Suami kaki pukul,kaki judi, curang, penagih dadah dan sebagainya merupakan sebahagian daripada kisah-kisah yang dirungkaikan di dalam buku ini. Beratnya  dugaan yang terpaksa wanita-wanita malang tersebut hadapi.  Waktu bercinta memang semuanya indah. Bila dah kahwin barulah terserlah perangai mereka yang sebenar.

Suatu hari nanti saya berazam untuk bekerja dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membela nasib wanita-wanita malang yang sering ditindas.

Buku ini turut dilengkapi dengan pakej nasihat dan tip-tip keagamaan dan psikologi untuk dijadikan rujukan dan panduan kehidupan. Banyak perkara menarik dikongsikan di dalam buku ini kerana kisah-kisah yang dipaparkan merupakan kisah ekstrem yang tidak terjangkau dengan akal fikiran.

Oleh itu, saya sarankan kepada semua anggota masyarakat supaya memiliki buku ini untuk mengambil iktibar dengan kisah-kisah yang dipaparkan serta mendapatkan tip-tip dan nasihat yang berguna untuk menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi.